Hanya beberapa hari sahaja lagi, Xiaomi dijangka akan memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka iaitu siri Xiaomi 11T.

Namun begitu, turut akan menjadi perhatian para pengguna nanti pada acara itu adalah pelancaran pengecas hyper 120 Watt Xiaomi.

Ini kerana, masih terdapat kebimbangan pengguna terhadap kesan penggunaan pengecas hyper terhadap hayat bateri peranti serta isu keselamatan.

Bagi menjawab persoalan itu, pihak The Verge telah menemubual Ketua Komunikasi Antarabangsa Dan Jurucakap Global Xiaomi, Daniel Desjarlais bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau menyatakan, berkenaan dengan kesan penggunaan pengecas hyper terhadap hayat bateri, itulah perkara yang mereka sangat titik beratkan dengan melakukan ujian yang sangat intensif.

Mereka menguji sehingga 800 kali ujian pengecasan menggunakan pengecas hyper dan mendapati keadaaan kesihatan bateri selepas ujian itu adalah pada tahap 80%.

Beliau menegaskan, kehilangan sebanyak 20% dari hayat bateri itu sebagai suatu yang normal. Secara kasarnya selepas 2 tahun bateri dicas. Ini menunjukkan ketahanan hayat bateri dengan menggunakan pengecas hyper 120W sangat memuaskan.

Berkaitan dengan isu keselamatan pula Desjarlais berkata, mereka memastikan teknologi pengecas hyper mereka dapat memenuhi ketetapan regulasi yang ditetapkan serta menjadikan ia sebagai sangat selamat untuk semua pengguna.

Setakat ini, telefon pintar Xiaomi yang menyokong pengecasan hyper 120w adalah siri Xiaomi 11 Ultra, Mi 10 Ultra dna Black Shark 4.

Pada tahu lalu Xiaomi mendakwa, pengecas hyper 120W mereka mampu mengecas penuh bateri Mi 10 Ultra yang berkapasiti 4500mAh hanya dalam tempoh 23 minit sahaja.

Sumber: The Verge