Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengumumkan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) buat pertama kali digunakan di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Kedah.

MOCN merupakan teknologi pemancar terkini yang menggabungkan empat penyedia perkhidmatan termasuk Digi, Maxis, Celcom dan U Mobile dengan menggunakan hanya satu set peralatan untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut.

Peralatan itu telah pun siap dipasang sejak beberapa hari lalu pada menara setinggi 30 meter. Selain menjimatkan masa dan kos peralatan, teknologi MOCN ini juga dikatakan mampu memberikan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

Usaha pembinaan infrastruktur ini dapat dilaksanakan dengan segera setelah mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Dalam pada itu, MCMC turut berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi memperluaskan lagi liputan 4G di seluruh negara di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Sumber: MCMC