Permainan Cyberpunk 2077 telah dilancarkan secara rasminya di Steam pada pagi ini.

Sebagai sebuah permainan yang sangat ditunggu-tunggu setelah pengenalannya pada tahun 2013, sudah tentu ramai yang mula memuat turun sebaik sahaja ia dilancarkan.

Namun, berita buruknya Steam menerima tamparan hebat penangan permainan ini dan mengalami masalah dan tidak boleh diakses buat sementara waktu.

Apa yang terjadi adalah, pengguna tidak boleh memuat turun permainan dan juga memainkannya.

Pun begitu, situasi ini tidak berlarutan lama dan segalanya kembali normal tidak lama selepas itu.

Cyberpunk merupakan permainan RPG dunia terbuka bertemakan persekitaran masa hadapan. Di Steam, permainan ini berharga RM219 dan boleh dibeli dan dimainkan bermula hari ini.