Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermula sejak tiga bulan lalu kini dilaporkan telah mencapai sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2020.

Sebagai contoh, ketersediaan sambungan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan.

Menerusi JENDELA, ia telah membawa peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan negara kepada 96.9% kawasan berpenduduk. Selain itu, pelan ini turut mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi secara menyeluruh sebagai asas kukuh untuk pengenalan teknologi 5G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah turut berkata, pelaksanaan JENDELA bagi tahun 2021 dijangka akan dilaksanakan dengan lebih agresif untuk terus menambah baik perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara.

Pembinaan lebih banyak menara baharu juga akan terus dipergiatkan bagi meluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti rangkaian jalur lebar, terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau turut meminta kerjasama semua pihak supaya masyarakat luar bandar tidak menanti terlalu lama sehingga terpaksa memanjat pokok, terjatuh daripada jambatan, berkhemah di hutan dan sebagainya untuk mendapatkan liputan internet lebih baik.

Dalam pada itu, laporan penuh Suku Tahunan JENDELA pertama dijangka bakal diumumkan pada hari ini.

Sumber: Menteri Komunikasi dan Multimedia