Pada pembentangan Bajet 2021 November lalu, kerajaan telah mengumumkan pengenalan pas perjalanan bulanan tanpa had MyRail5 dengan harga RM5 yang diberikan kepada pelajar sekolah dari tahun 1 hingga tingkatan 6 dan golongan OKU.

Pengenalan pas ini bertujuan untuk meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan KTM komuter Lembah Klang, Komuter Utara dan Shuttle Timuran (Kuala Lipis-Tumpat).

Terbaru, KTMB telah mengumumkan pendaftaran MyRail5 sudah boleh dibuat bermula 27 Disember 2020 melalui kaunter tiket atau secara dalam talian. Sementara itu, pembelian pas MyRail5 boleh dibuat mulai 30 Disember 2020. Penggunaan pas ini pula akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2021.

Untuk pendaftaran, pengguna KTM Komuter di Lembah Klang boleh membuat pendaftaran di 13 stesen terpilih termasuk Sentul, Batu Caves, Subang Jaya, Klang, Shah Alam, Bandar Tasik Selatan dan lain-lain.

Manakala, pengguna KTM Komuter di Utara dan Shuttle Timuran boleh mendaftar sama ada di semua kaunter atau melalui laman sesawang KTMB.

Beberapa dokumen juga perlu disertakan untuk mendaftar atau membuat pembelian pas MyRail5. Untuk lebih lanjut mengenai permohonan pas MyRail5, layari laman rasmi KTMB melalui pautan ini.

Sumber: KTMB