Seperti yang dilaporkan pada awal pagi ini, sekumpulan penggodam yang digelar sebagai Anonymous Malaysia telah kembali dan memberi amaran untuk melakukan serangan siber terhadap laman web kerajaan serta aset dalam talian yang dipanggil #OpsWakeUp21.

Susulan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyatakan notis amaran telah dikeluarkan kepada semua agensi kerajaan agar mengambil langkah-langkah perlu untuk mencegah dan meminimumkan impak ancaman tersebut.

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan belum menerima sebarang laporan laman web kerajaan digodam setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.

Sekiranya tindakan penggodaman dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan. Masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun.

Tambahnya, masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai impak terhadap rakyat dan negara ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM sedar dan mengambil serius dengan ancaman kumpulan penggodam terbabit.

Sumber: BERNAMA