Sebelum ini telah dilaporkan tentang 16 buah dron yang berharga RM48 juta yang bakal diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua 16 dron itu akan dikawal di bawah seliaan Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan seluruh negara khususnya di kawasan yang tidak berpagar bagi mengekang aktiviti jenayah.

Walaubagaimanapun, netizen mempersoalkan harga dron tersebut yang disifatkan sebagai terlalu mahal kos pembeliannya.

Bagi menjawab persoalan tersebut, pihak PDRM melalui Jabatan Logistik Dan  Teknologi mengeluarkan kenyataan media dengan memberikan sedikit perincian spesifikasi dron yang bakal diterima itu.

PDRM memaklumkan, kos perolehan 16 unit dron jenis vertical take-off and landing (VTOL) yang bernilai RM48 juta itu adalah berdasarkan kepada anggaran kajian harga pasaran untuk dron berspesifikasi terkini yang sesuai digunakan untuk tujuan taktikal/pemantauan PDRM.

Jenis dron yang akan diperolehi itu adalah jenis electric drone yang menggunakan kuasa bateri berkuasa tinggi serta dilengkapi dengan gyro stabilized camera (electro optical / infra red) yang mampu diterbangkan dan merakam visual beresolusi tinggi termasuklah foto, video dan live streaming siang dan malam.

Setiap unit dron juga hadir dengan pakej yang merangkumi mobile ground station vehicle yang lengkap dengan turret tracking antenna system, weather station dan portable global navigation satellite system.

Kesemua dron tersebut akan digunakan bagi penugasan melibatkan pemantauan serta membanteras ancaman di kawasan sempadan negara dalam usaha menangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

PDRM menegaskan dengan memiliki aset dan kelengkapan terkini, ia akan dapat memantapkan lagi penugasan pihak berkuasa itu dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Sumber: PDRM

Baca juga: PDRM Bakal Terima 16 Buah Dron Berkuasa Tinggi Berharga RM48 Juta