Majlis Keselamatan negara (MKN) mengumumkan bakal menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengenalpasti dan mengkaji isu keselamatan siber untuk tujuan menggubal undang-undang yang berkaitan.

MKN turut menyatakan perkara itu merupakan antara keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat yang diadakan itu merupakan langkah kerajaan untuk memulakan pelaksanaan pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

Dalam pada itu, satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi sektor awam kritikal terpilih juga akan ditubuhkan. Untuk fasa pertama, ia melibatkan 16 agensi bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.

Menurut MKN, sepanjang tahun ini, terdapat peningkatan kes insiden siber yang dilaporkan. Insiden seperti Advanced Persistent Threat (APT), perisian tebusan atau ‘ransomware’ dan pencerobohan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan merupakan isu serius yang perlu diatasi kerana melibatkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan sebagainya.

Sumber: BERNAMA