Telefon konsep merupakan sesuatu yang sering diperlihatkan oleh pengeluar untuk mempertontonkan teknologi dan inovasi baharu.

Awal tahun ini, OnePlus telah memperkenalkan OnePlus Concept One, sebuah telefon pintar dengan panel kaca elektrokromik yang boleh menghilang kamera belakang.

Kini, OnePlus hadir dengan telefon konsep kedua dinamakan OnePlus 8T Concept. Ia adalah merupakan telefon dengan kebolehan panel belakang berubah warna dan juga dilengkapi dengan radar mmWave.

Seperti namanya, ia adalah merupakan sebuah OnePlus 8T dengan panel belakang berlainan. Belakangnya dilengkapi l;apisan mengandungi besi oksida yang boleh berubah warna bergantung kepada aliran voltan.

Warna yang boleh diubahnya adalah dari perak ke biru gelap dan sebaliknya. Lapisan besi oksida itu kemudiannya dilekatkan pada kaca panel OnePlus 8T membentuk sebuah corak abstrak.

Menurut OnePlus, perubahan warna lapisan tersebut boleh digunakan sebagai sistem notifikasi.

Seperkara lagi adalah OnePlus 8T Concept ini turut dilengkapi dengan sistem radar mmWave di bawah kamera belakangnya. Melaluinya, ia boleh mengesan pergerakan tangan yang boleh digunakan untuk menerima dan menolak panggilan hanya dengan melambai sahaja.

Menerusi sistem radar mmWave itu juga, OnePlus 8T Concept boleh memantau pernafasan pengguna. Ia berfungsi dengan mengesan pergerakan dada dan juga mengira kadar pernafasan pengguna.

Seperti OnePlus One Concept, OnePlus 8T tidak dijual dan hanya konsep semata-mata.

Teknologi ini mungkin digunakan untuk telefon mereka akan datang namun buat masa ini, ia hanya sekadar demo inovasi sahaja.