Anda ada perangai sukar untuk tidak menggunakan telefon pintar? Atau berasa gelisah apabila ketiadaan internet ketika menggunakannya?

Jika ada, anda mungkin ada ‘penyakit’ nomofobia iaitu perasaan yang takut apabila ketiadaan telefon pintar atau tidak boleh menggunakannya.

Gambar hiasan

Kebanyakan antara kita sangat bergantung dengan telefon pintar disebabkan mahu mencari maklumat atau berhubung. Ini merupakan perkara normal namun nomofobia adalah sedikit berbeza.

Berasal dari perkataan Inggeris “no mobile phone phobia“, perasaan takut yang wujud tersebut sangat ekstrem sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Pelbagai kajian telah dilakukan yang menyatakan bahawa penyakit ini menjadi semakin serius dan merebak. Seperti contoh pada tahun 2017, 145 pelajar perubatan di India telah diperiksa dan didapati 22.1% dari mereka mempunyai simptom nomofobia yang agak teruk.

Apakah Simptom Nomofobia?

Secara umumnya, nomofobia merupakan penyakit lebih kepada kesihatan mental. Ia tidaklah membawa kepada penyakit ‘berbahaya’ namun lebih kepada ketagihan seperti ketagihan rokok.

Ketagihan telefon – Gambar hiasan

Disebabkan nomofobia merupakan salah satu jenis dari penyakit kegelisahan, penghidapnya akan menunjukkan tindak balas berupa ketahutan dan boleh menyebabkan simptom baik emosi dan juga fizikal.

Simptom Emosi Nomofobia

  • Risau, takut atau panik apabila memikirkan yang telefon tidak boleh digunakan
  • Resah dan runsing jika telefon diletakkan ke tepi atau tidak boleh digunakan buat sementara waktu
  • Panik dan gelisah jika tidak menjumpai telefon anda seketika
  • Rengsa, tertekan, atau gelisah apabila tidak boleh melihat telefon

Simptom Fizikal Nomofobia

  • Rasa dada sesak
  • Sukar untuk bernafas
  • Gementar atau menggeletar
  • Berpeluh secara tiba-tiba
  • Rasa pening atau mahu pengsan
  • Degupan jantung semakin laju

Antara simptom lain yang mungkin menunjukkan anda mempunyai nomofibia adalah kadar kebergantungan anda terhadap telefon pintar. Seperti contoh:

  • Sering membawanya tidur, tandas atau ketika mandi
  • Periksa telefon anda setiap masa, untuk memastikan tidak terlepas notifikasi
  • Meluangkan masa berjam-jam menggunakan telefon
  • Rasa tidak tenteram tanpa telefon

Punca Nomofobia

Nomofobia merupakan salah satu dari jenis fobia moden. Ia adalah disebabkan kebergantungan manusia kepada teknologi yang merubah bagaimana kita menggunakannya.

Berdasarkan kajian, nomofobia lebih dikaitkan kepada remaja golongan muda berbanding yang lebih berumur.

Golongan Muda – Gambar hiasan

Pakar masih tidak dapat menjelaskan apakah punca spesifik nomofobia, namun dipercayai terdapat beberapa faktor penyebabnya.

Rasa ‘ketakutan’ apabila keseorangan difahamkan turut memainkan peranan penting dalam fasa terjadinya nomofobia. Jika anda menggunakan telefon pintar sebagai kaedah utama untuk berhubung insan tersayang, anda semestinya akan merasa sunyi apabila ketiadaan telefon pintar.

Keseorangan – Gambar hiasan

Faktor lain adalah rasa takut apabila tidak dapat dihubungi ketika berjauhan. Kita kebiasannya sememangnya akan mendekatkan diri dengan telefon jika menunggu mesej atau panggilan yang penting. Namun secara tidak langsung ini membentuk kelakuan dan sikap yang sukar untuk diubah.

Adakalanya, kehilangan telefon menyebabkan masalah besar yang menyusahkan anda, jadi sudah tentu anda risau jika ia terjadi lagi.

Risiko nomofobia juga meningkat jika ada mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai sesuatu fobia atau penyakit kegelisahan.

Bagaimana Anda Boleh Tahu Anda Ada Nomofobia?

Jika anda kerap menggunakan telefon pintar atau risau tidak boleh menggunakan telefon pintar, tidak semestinya anda menghidap nomofobia.

Namun lebih baik untuk menerima rawatan jika ia menjejaskan kesihatan anda seperti simptom:

  • Terlalu kerap menggunakkan telefon sehingga tidak berbuat apa-apa
  • Prestasi kerja atau hubungan dengan orang lain terjejas
  • Sukar tidur malam disebabkan penggunaan telefon pintar
  • Aktiviti dan rutin harian terganggu
  • Kesihatan terkesan dan kualiti kehidupan secara keseluruhan menurun

Bagaimana Merawat Nomofobia?

Terapi kebiasannya boleh merawat dan mengubat nomofobia. Terdapat 2 cara iaitu secara terapi kelakuan kognitif ataupun terapi pendedahan.

Terapi – Gambar hiasan

Terapi Kelakuan Kognitif

Terapi kelakuan kognitif (CBT) boleh membantu anda untuk mengendalikan pemikiran negatif anda perasaan jika anda memikirkan tidak mempunyai telefon anda pada sesuatu waktu.

Kadang kala pemikiran seperti “Kalau aku hilang telefon, mesti dah tak boleh bercakap dengan kawan lain” mungkin membuatkan anda gelisah. Namun CBT boleh ‘melawan’ tanggapan ini.

Apa yang sepatutnya anda fikir adalah, “Memang telefon hilang, tapi bila dah beli baharu, tak ada masalah pun. Mungkin awal-awal agak susah, tapi bila fikir balik, tak ada lah teruk mana”.

Terapi Pendedahan

Terapi jenis ini membantu anda bagaimana mengawal ketakutan secara perlahan-lahan.

Jika anda mempunyai nomofobia, anda lama-kelamaan sudah biasa jika tidak menggunakan telefon pintar. Objektif terapi ini bukanlah untuk mengelakkan anda dari tidak menggunakan telefon pintar 100%.

Cuma ia membantu anda mengawal bagaimana untuk berhadapan dengan ketakutan ketiadaan telefon pintar. Secara tidak langsung, ia membawa kepada penggunaan telefon yang lebih sihat.

Perubatan

Ada sesetengah ubat yang boleh merawat simptom nomofobia, namun tidak merawat penyakit ini secara keseluruhan.

Perubatan – Gambar hiasan

Bergantung kepada simptom yang anda hadapi, ada antara ubat yang boleh merawat simptom yang dinyatakan seperti:

βblockers: Boleh mengurangkan simptom fizikal fobia secara keseluruhan seperti pening, kesukaran bernafas, atau degupan jantung yang kencang. Kebiasaannya ia diambil sebelum terjadinya fobia. Seperti contoh, penghidap nomofobia akan membawa ubat ini jika pergi ke kawasan tanpa servis rangkaian telefon.

Benzodiazepine: Ubat ini boleh membantu mengurangkan rasa takut atau gelisah. Namun, jika terlalu kerap mengambilnya, badan anda akan rasa selalu bergantung dengannya. Kebiasannya doktor akan menasihatkan ia diambil sebagai penggunaan jangka masa pendek dan juga kecemasan.

Penjagaan Diri

Antara kaedah yang digunakan sebagai ‘rawatan’ penjagaan diri sendiri adalah:

  • Tutup telefon jika mahu tidur untuk mendapatkan rehat yang lebih berkualiti. Jika anda menetapkan jam penggera, pastikan ia berada pada jarak agak jauh untuk anda mencapainya dengan mudah sebelum tidur.
  • Cuba tinggalkan telefon seketika seperti pada waktu membeli barang, makan-makan ataupun bersiar-siar.
  • Meluangkan masa jauh dari teknologi. Cuba duduk senyap, menulis, mencari hobi baharu dan sebagainya.

Namun, mungkin ada antara anda yang lebih memerlukan telefon pintar untuk mengekalkan hubungan antara satu sama lain.

Golongan ini lebih sukar untuk menjarakkan diri dari telefon, tetapi ini cara yang anda boleh lakukan:

  • Galakkan perjumpaan secara muka dengan rakan atau yang tersayang, jika boleh.
  • Bahagikan masa antara menggunakan telefon pintar dengan aktiviti lain. Fokus melakukan aktiviti berfaedah apabila telefon tidak digunakan.
  • Berinteraksi dengan lebih dekat dengan insan di sekeliling anda. Seperti contoh sembang dengan rakan sekerja, rakan sekelas atau jiran.
Interaksi secara fizikal – Gambar hiasan

Jika wujudnya simptom anda sukar untuk berinteraksi secara fizikal dengan orang lain disebabkan buli, masalah kesihatan seperti kemurungan, kegelisahan sosial, atau tekanan, penting untuk anda mendapatkan rawatan walau sekalipun anda tidak mempunyai nomofobia.

Rumusan

Walau nomofobia bukan merupakan salah satu dari jenis kesihatan mental, pakar bersetuju ia merupakan isu yang semakin membesar dan boleh menjejaskan kesihatan mental.

Nomofobia lebih lazim wujud pada golongan muda, tetapi ia mempunyai pelbagai simptom bergantung kepada pengguna tersebut.

Jika anda kerap menggunakan telefon pintar, anda mungkin akan panik seketika jika telefon anda hilang secara tiba-tiba. Namun tidak bermakna anda mengalami nomofobia.

Akan tetapi, jika anda terlalu risau atau takut sehinggakan tidak boleh fokus dengan aktiviti atau kerja yang sepatutnya anda lakukan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan seperti berjumpa dengan doktor.

Rujukan: Healthline, Psychologytoday