Kerajaan telah bersepakat untuk memberikan tol percuma sempena Deepavali selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad ini. Tol percuma diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Kementerian Kerja Raya (KKR) bermesyuarat bersama syarikat konsesi dan mencapai kata putus untuk melaksanakan pemberian tol percuma bermula 11 November 2023 (Sabtu) jam 12:01 pagi hingga 12 November (Ahad) jam 11:59 malam.
Langkah ini dilakukan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia yang dalam mood bercuti terutamanya masyarakat India beragama Hindu yang ingin merayakan Deepavali.
Perkara ini sepadan dengan keinginan kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat tidak kira kaum, agama dan kepercayaan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau menambah lagi, tarikh tersebut dipilih bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas terutamanya di plaza tol pada hari masyarakat pulang bercuti dan hari kembali semula bandar.
Inisiatif ini dapat memaksimumkan pengoperasian dan pengaturan logistik tambahan di sepanjang lebuh raya. Anggaran jumlah trafik selama dua hari tersebut adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.
Pengaplikasian tol percuma ini bertujuan untuk memberi manfaat terhadap pengguna lebuh raya agar mereka dapat merancang perjalanan sebaiknya. Pengguna juga disarankan untuk mengikut cadangan jadual waktu perjalanan atau ‘travel time advisory’ (TTA) yang disarankan.
{suggest}
Sumber: Bernama