Mungkin ini adalah kereta elektrik paling berkuasa di dunia yang ada ketika ini. Mampu memecut dari 0 km/j sehingga mencapai kelajuan maksimum 400 km/j hanya dalam masa kurang dari 30 saat iaitu 21.32 saat sahaja.
Malah paling mengkagumkan adalah keupayaannya memecut dari 0 km/j dan mencapai 96.7 km/j hanya dalam masa 1.74 saat sahaja.
Itulah 2 daripada 23 rekod yang dipegang dan dipecahkan kereta elektrik paling berkuasa di dunia, Rimac Nevera, kereta elektrik yang dihasilkan oleh Rimac Group Ltd (Rimac) yang berpangkalan di Zagreb, Croatia yang berjaya memecahkan segala rekod kereta hyper.
Kesemua rekod yang dicatat Nevera itu pula dibuat hanya dalam masa sehari sahaja di kemudahan Ujian Automotif Papenburg (ATP) di Jerman dengan menggunakan jalan sejauh 4.0km.

Rimac memberitahu, kunci kepada kelajuan Nevera adalah sistem bateri, powertrain dan perisian canggihnya di mana semuanya dibangunkan secara dalaman oleh Rimac Group.
Rangkaian kuasa depan dan belakang – masing-masing terdiri daripada dua motor individu – memberikan kuasa kepada setiap roda secara individu.
Semua sistem diawasi oleh rangkaian kompleks unit kawalan elektronik yang dibangunkan secara dalaman dengan kerjasama dari superkomputer berasaskan NVIDIA Pegasus untuk mengira dan menghantar output kepada empat sistem powertrain 100 kali sesaat.
Gabungan semua sistem ini dan perisian yang mengawalnya dikenali sebagai Rimac All-Wheel Torque Vectoring 2.
Rimac Nevera hanya dihasilkan terhad sebanyak 150 unit sahaja dan ia kini sedang dibina di pinggir Zagreb, Croatia dengan penghantaran masih berjalan kepada pelanggan mereka di seluruh dunia.
Rimac Nevera dianggarkan berharga lebih daripada RM9 juta seunit.
{suggest}
Sumber: Rimac