Normal bagi Netflix meminta kebenaran mengakses ciri yang terdapat pada telefon pintar untuk memberikan pengalaman penggunaan lebih baik. Contohnya akses kepada Bluetooth atau melihat sambungan WiFi.
Namun begitu, timbul persoalan mengapa aplikasi itu mahukan kebenaran bagi menjejak aktiviti fizikal pengguna seperti berjalan, memandu dan lain-lain.
Hal ini mula didedahkan oleh seorang penyelidik sekuriti yang mana beliau membuat kicauan di Twitter berkenaan permintaan akses tersebut.
Hey @netflix why does your Android app want physical activity data? pic.twitter.com/Lv0QUL0w9g
— Beto on Shrooms on Security, Shitter of Posts (@BetoOnSecurity) July 27, 2019
Menjelaskan perkara itu, jurucakap Netflix memberitahu The Next Web bahawa mereka sedang melakukan ujian bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti video bagi pengguna yang sedang bergerak dan ia hanya melibatkan sesetengah pengguna sahaja.
Kebenaran yang diminta itu dikatakan hanya akses untuk mengenalpasti sama ada pengguna sedang bergerak (berjalan atau menaiki kenderaan) dan tidak mengambil data mengenai lokasi. Menurut laman The Next Web, ujian yang dilaksanakan itu dilihat sebagai persediaan Netflix bagi penggunaan pada Android Q yang mana aplikasi boleh mengelaskan aktiviti fizikal pengguna.
Sumber: The Next Web