Pada Ogos tahun lepas, Google telah memperkenalkan Nearby Share yang membolehkan perkongsian secara terus di antara mana-mana peranti yang menjalankan Android 6.0 Marshmallow dan ke atas.

Berfungsi seakan Apple AirDrop, ia membolehkan pengguna Android berkongsi fail, pautan dan gambar dengan lebih mudah dan pantas. Ia merupakan ciri terbina yang tidak memerlukan pemasangan aplikasi.

Memetik laporan XDA-Developers, Google kini dikatakan bakal menambah baik Nearby Share dengan sokongan perkongsian fail secara berkumpulan pada satu-satu masa.

Selain itu, Nearby Share turut menambah pilihan tetapan perkongsian kepada “Everyone” berbanding hanya senarai kenalan. Pengguna juga boleh mengaktifkan ciri “Temporary mode”, di mana ia akan beralih kepada tetapan “Contacts” selepas 5 minit.

Buat masa ini, kedua-dua ciri berkenaan masih dalam fasa pembangunan dan belum diketahui jika atau bila ia akan tersedia kepada umum.

Sumber: XDA-Developers