Naza Communications Sdn Bhd, anak syarikat Naza Corp Holdings Sdn. Bhd. dilaporkan sedang berunding untuk membeli aset U Mobile Sdn. Bhd.
Pun begitu, kedua-dua syarikat tersebut enggan memberi ulasan lanjut apabila ditanya berkenaan ura-ura berkenaan.
Ada juga laporan mengatakan U Mobile telah meminta RFP (request for proposal) dan Naza antara yang ke hadapan berminat untuk mendapatkan aset-aset tersebut.
RFP merujuk pada dokumen perniagaan yang membolehkan sesebuah syarikat meneliti dan membandingkan kemahiran, harga dan tawaran vendor yang berminat.
Semakan CTOS oleh The Edge menunjukkan antara pemegang saham U Mobile sekarang ialah:
- Straits Mobile Investments Pte Ltd (48.26%)
- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (22.31%)
- Tan Sri Vincent Tan melalui U Telemedia, Singer dan Berjaya (18.54%)
- Magnum Bhd (7.84%)
- Tan Sri Paul Koon Poh Keong melalui Press Metal Aluminium (2.35%)
- Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd (0.71%)
Selain U Mobile, Tan Sri Vincent Tan juga mempunyai sekitar 50% pegangan dalam REDtone Digital Bhd. Terdahulu, beliau pernah melabur dalam Digi pada 1990-an namun melepaskannya semasa krisis ekonomi Asia.
Tahun lalu, Naza berkata mereka bersedia untuk menjadi rakan kongsi strategik untuk menyokong pelancaran 5G di Malaysia di bawah inisiatif MyDigital.
Sumber: The Edge Markets