Seperti semua sedia maklum, harga bagi sebuah kad grafik komputer ketika ini adalah sangat mahal. Malah harga jualannya juga kini dijual lebih dari paras harga yang disyorkan.

Walaubagaimanapun selepas sekian lama, keadaan ini dijangkakan bakal berubah di mana ia akan kembali kepada paras harga munasabah tidak lama lagi.

Menurut laporan oleh laman Wccftech, harga perkakasan kad grafik komputer dikhabarkan telah menjunam ke paras terendahnya.

Laporan itu adalah bersandarkan kepada analisis carta yang dikongsikan oleh laman 3D Center dari German berkaitan trend semasa harga perkakasan komputer itu dalam tempoh 6 bulan ini.

Melihat kepada carta di atas ia menunjukkan harga bagi kad grafik nVidia dan AMD mencatatkan penurunan yang sangat ketara berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh status semasa pasaran kriptowang yang tidak ‘meletup’ seperti yang dijangkakan.

Malah pasaran kad grafik di Amerika turut menunjukkan trend penurunan harga.

Data harga jualan kad grafik di German dari Januari hingga Julai 2021.

Jadi, jika anda bercadang mahu membeli kad grafik dalam masa terdekat ini, anda dinasihatkan supaya menangguhkan dulu niat anda.

Walaupun harga kad grafik menunjukkan penurunan, tetapi bagi pasaran tempatan harga kad grafik adalah jauh masih tinggi dan ia tidak akan turun secara mendadak dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, sekiranya anda bersabar dalam masa beberapa bulan ini, anda berkemungkinan besar berpeluang mendapatkan kad grafik idaman anda pada harga yang jauh lebih murah berbanding sekarang.

Sumber: Wccftech