Baru-baru ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Menterinya, Khairy Jamaluddin telah melancarkan 2 inisiatif nasional bagi melonjakkan lagi bidang sains, teknologi dan inovasi negara.

2 inisiatif itu adalah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE).

Menerusi 2 gabungan inisiatif ini, MOSTI akan memastikan kemajuan sains dan teknologi negara bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Sekaligus bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.

Dasar ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing yang turut akan dapat membantu negara mencapai matlamat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM3.4 trilion menjelang 2030.

MOSTI juga berkata, mereka akan memastikan bidang sains dan teknologi memberi manfaat kepada semua pihak secara inklusif tanpa ada pihak terpinggir dengan adanya pewujudan pusat komuniti sains dilokasi-lokasi strategik di kawasan bandar dan luar bandar yang akan dilaksanakan nanti.

Sumber: MOSTI