Penganalisis terkenal, Ming-Chi Kuo hari ini telah mengeluarkan laporan yang memfokuskan kepada ramalan bagi model iPhone 13 serta iPhone untuk tahun akan datang.

Bagi iPhone 13, Kuo mengatakan model ini akan hadir dengan takuk yang lebih kecil pada paparan. Sementara itu, model Pro dan Pro Max akan dilengkapi teknologi panel LPTO dengan sokongan kadar segar semula 120Hz.

Bukan perkara baharu, beberapa sumber sebelum ini telah pun menyatakan model iPhone 13 akan hadir dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Antaranya termasuk Ross Young, Jon Prosser dan Max Weinbach.

Seperti iPhone 12, Kuo turut mendakwa iPhone 13 akan ditawarkan dengan empat model bersama port sambungan Lightning dan modem Qualcomm Snapdragon X60 yang menawarkan peningkatan kelajuan rangkaian 5G.

Beliau menjangkakan sensor penstabilan imej yang dimuatkan pada iPhone 12 Pro Max akan diperluaskan kepada semua model iPhone 13. Untuk iPhone 13 Pro, peranti ini dijangka akan menerima lensa kamera sudut lebar yang dinaik taraf dengan f/1.8 dan autofokus.

Sebelum ini, Kuo menyatakan model iPhone paling mahal akan hadir dengan rekaan tanpa port pada tahun 2021. Namun, laporan yang dikeluarkan menunjukkan tidak akan ada rekaan tanpa port yang dilancarkan pada tahun ini, di mana sambungan Lightning masih akan dikekalkan pada iPhone 13.

Dalam pada itu, iPhone 13 juga dijangka hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar berbanding model iPhone 12.

Sumber: MacRumors