Umum mengetahui, pelancaran barisan iPhone 12 pada tahun ini mengalami kelewatan berikutan pandemik COVID-19. Baru-baru ini, penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo telah mendedahkan pengeluaran model iPhone 13 dengan cip A15 dijangka akan kembali dijadualkan seperti biasa.

Pada kebiasannya, Apple memulakan pengeluaran secara besar-besaran iPhone pada awal musim panas, namun laporan menyatakan pengeluaran iPhone 12 hanya bermula pada September, yang mendorong Apple buat pertama kalinya (sejak 2011) menangguhkan acara pelancaran iPhone 12 sehingga Oktober.

Sementara itu, penjualan iPhone 12 dan iPhone 12 Pro pula hanya bermula 23 Oktober, dan diikuti iPhone 12 mini dan iPhone 12 Pro Max pada 13 November. Untuk pasaran Malaysia, kesemua model ini dijual secara rasmi pada 13 November lalu.

Dalam pada itu, Kuo turut mengatakan permintaan iPhone tetap kukuh, terutama untuk model iPhone 12 Pro, yang menghadapi kekurangan komponen kamera dan menyumbang kepada kelewatan penghantaran melalui pembelian di laman web Apple.

Dengan jangkaan pengeluaran iPhone 13 akan dijadualkan seperti biasa, kemungkinan acara pelancarannya juga akan kembali diadakan pada September. Namun, perkara ini mungkin berubah berikutan keadaan global yang masih berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

Sumber: MacRumors