Di bawah Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin, rakyat Malaysia kini mampu memiliki peranti pintar atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE, pada harga mampu milik bermula dari RM1.

Inisiatif ini memberi peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki/menaik taraf peranti mudah alih yang terkini bagi menikmati kesalinghubungan yang baik dan mempertingatkan produktiviti.

Pelaksanaan inisiatif ini disokong oleh 6 syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama di Malaysia termasuklah Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Sempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengalu-alukan semua warganegara Malaysia untuk melanggan dan memanfaatkan pakej yang ditawarkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan bermula dari 16 Ogos 2021 sehingga 16 September 2021.

Bagi yang berminat, info lanjut tentang pakej-pakej yang ditawarkan oleh  boleh diketahui dengan melayari laman sesawang penyedia perkhidmatan yang terlibat.

Sebelum memilih pakej dari telco yang anda mahu langgan, anda disarankan untuk memeriksa terlebih dahulu sekiranya ketersediaan rangkaian liputan boleh diterima di kawasan anda melalui laman sesawang https://jendela.my/map/.

Sebagai makluman, sekiranya anda melanggan pakej yang ditawarkan, talian baharu anda itu akan terikat kepada kontrak 24 bulan.

Bagi pelanggan sedia ada yang tidak berkontrak pula, kontrak baharu akan dikenakan terhadap talian utama anda. Pengikatan sedemikan adalah berikutan peranti yang dilanggan.

Sila rujuk dengan penyedia perkhidmatan masing-masing untuk maklumat lebih lanjut berkaitan pakej-pakej  yang ditawarkan.

Sumber: SKMM