Microsoft kini menyatakan telah menemui perisian hasad atau malware dalam sistem mereka yang berkaitan dengan serangan penggodaman besar-besaran yang didedahkan oleh pegawai Amerika Syarikat baru-baru ini.

Serangan melalui firma FireEye menggunakan perisian hasad yang dimasukkan ke dalam perisian pengurusan rangkaian yang disediakan kepada pelanggan oleh syarikat teknologi SolarWinds.

Memetik laporan Microsoft, SolarWinds menyatakan penggodam telah memasang perisian hasad ke dalam produk Orion SolarWinds dengan lebih daripada 17,000 pelanggan.

Pemasangan perisian hasad ini memberi peluang kepada penggodam untuk mengintip dan memilih pelanggan mana yang akan menerima serangan lanjutan.

Microsoft mengatakan penggodam menggunakan banyak kaedah untuk menceroboh masuk. Bagaimanapun, pihaknya tidak memberikan perincian lanjut mengenai teknik yang digunakan oleh penggodam untuk menceroboh masuk sistem mereka.

Serangan yang masih berterusan itu juga sedang disiasat dan ditangani secara aktif oleh pasukan keselamatan siber di sektor awam dan swasta, termasuk Microsoft. Dalam pada itu, FBI dan beberapa agensi lain akan mengadakan taklimat terperinci mengenainya.

Sumber: Microsoft via Reuters