Sebagai sebahagian inisiatif “Bersama Malaysia”, Microsoft Corp. hari ini telah mengumumkan komitmen untuk memperkasakan ekonomi digital terangkum Malaysia dan menggiatkan transformasi digital negara membabitkan sektor awam dan swasta.

Untuk itu, Microsoft memaklumkan mereka akan menubuhkan pusat data serantau (“datacenter region”) pertamanya di negara ini untuk menyediakan perkhidmatan awan yang boleh diyakini di dalam negara dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia di samping keupayaan menyimpan data di dalam negara.

Pusat data serantau pertama itu akan dibangunkan di persekitaran Kuala Lumpur (“Greater Kuala Lumpur”) dengan menyediakan capaian kepada kemudahan Microsoft Cloud serba lengkap, yang termasuklah  Microsoft Azure, Microsoft 365, Dynamics 365 dan Power Platform.

Malah Microsoft juga mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kemahiran untuk 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 dalam usaha membuka peluang ekonomi bagi insan dan perniagaan dalam era digital.

Microsoft yang sudah bertapak selama 28 tahun di Malaysia juga turut menyatakan menyokong matlamat MyDigital Kerajaan Malaysia untuk mengubah negara menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital.

Sumber: Microsoft