Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan telah berlakunya satu insiden melibatkan sebuah menara telekomunikasi tumbang di Kg. Gelong Badak, Bachok Kelantan.

Kejadian itu yang berlaku pada 22 Julai 2021 sekitar pukul 7.00 petang dipercayai berpunca daripada kejadian hujan lebat dan angin kencang di kawasan tersebut.

Menara yang tumbang itu adalah milik Redtone yang dikongsi bersama dengan rangkaian Celcom, Digi dan Maxis.

Ekoran daripada kejadian tersebut, SKMM menjangkakan berlakunya gangguan liputan komunikasi dan Internet bagi pelanggan Celcom, Digi dan Maxis di kawasan sekitarnya.

Pihak SKMM dan Redtone telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengatasi masalah liputan yang terganggu akibat kejadian berkenaan.

Sebagai langkah awal, sebuah menara sementara Base Transceiver Station (BTS) akan didirikan di lokasi kejadian dengan secepat mungkin bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat buat sementara waktu.

Kerja-kerja memulihkan liputan pula dijangka hanya akan siap selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai 2021 ini.

Sumber: SKMM