Tidak dinafikan media sosial mendatangkan manfaat terutamanya dari segi bagaimana manusia berkomunikasi antara satu sama lain.

Namun, diperingatkan supaya tidak melampaui batas sehingga menyusahkan pihak yang lain.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengingatkan kepada kesemua pengguna rakyat Malaysia bahawa ‘membawang’ atau bergosip di media sosial boleh diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber.

Ini adalah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang mana ia boleh tertakluk di bawah kesalahan penyebaran kandungan lucah, palsu, mengancam, jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

‘Membawang’ yang dimaksudkan adalah seperti tulisan atau komen bersifat gosip, peras ugut yang bertujuan memalukan individu lain.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, pihak SKMM turut memaklumkan mereka memantau secara agresif semua platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, serta WhatsApp yang rancak dengan kegiatan aktivitii jenayah ini.

Sumber: PDRM