MediaTek baru sahaja mengumumkan dua cip pemproses baharu, iaitu Helio G96 dan Helio G88. Masing-masing adalah pengganti bagi Helio G95 dan Helio G85.

Tidak banyak naik taraf untuk CPU dan GPU tetapi beberapa prestasi kamera serta paparan dipertingkatkan. Sesuai dengan misi mereka untuk menawarkan kemampuan paparan dan fotografi yang jauh lebih baik.

MediaTek Helio G96 tampil dengan seni bina seakan Helio G95. Ia memberikan sokongan paparan 120Hz dengan resolusi FHD+ termasuk panel LCD dan AMOLED serta turut menambah teknologi HyperEngine 2.0 Lite bagi memenuhi keperluan gamer. Bagi sokongan kamera, ia kini menyokong sensor 108MP.

Sementara MediaTek Helio G88, ia menyokong paparan beresolusi FHD+ pada kadar segar semula 90Hz. Cip ini dibina dengan dua CPU Arm Cortex-A75 dan GPU Mali-G52 MC2.

Selain itu, cip ini turut diberikan sokongan sensor kamera sehingga 64MP, EIS, teknologi Rolling Shutter Compensation (RSC), Camera Control Unit (CCU) dan perkakas untuk mengambil bokeh dwi-kamera.

Buat masa sekarang, MediaTek masih belum mendedahkan harga dan ketersediaannya lagi serta peranti mana yang akan menggunakannya.

Sumber: MediaTek

Baca juga artikel berkaitan: