Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menyasarkan 1.2 juta premis dan kediaman rumah dilengkapi pembangunan jaringan jalur lebar menjelang 2021 di bawah infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata agensi itu akan berusaha secara agresif bagi menjayakan matlamat tersebut dalam memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik.

Dalam pada itu, mengenai rancangan untuk menyenaraikan perkhidmatan internet sebagai utiliti awam ketiga selepas air dan elektrik, Fadhlullah berkata buat masa ini kerajaan Pulau Pinang sudah menjadikannya sebagai dasar.

Sementara itu, negeri-negeri lain dijangka akan menyusul tidak lama lagi. Ini kerana, isu tanah kebiasaannya akan melambatkan rancangan untuk merealisasikan matlamat itu.

Beliau berkata setiap negeri mempunyai undang-undang tanah sendiri dan MCMC juga terpaksa menangani peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelan tindakan JENDELA pada Ogos, yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025). Menerusi pelan tindakan ini, ia akan menyediakan asas untuk liputan jalur lebar yang komprehensif dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

Sumber: BERNAMA