Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengumumkan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta telah dikeluarkan kepada pemegang-pemegang lesen dalam tempoh suku pertama 2021 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 kompaun yang bernilai RM3.3 juta telah dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis. Ia menjadikan Maxis sebagai penerima kompaun terbanyak pada suku pertama tahun ini.

Kompaun yang dikenakan kepada Maxis dengan nilai RM3.25 juta adalah melibatkan kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik. Sementara itu, selebihnya adalah berkaitan ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna.

Dalam pada itu, MCMC turut mengenakan 7 kompaun berjumlah RM350,000 kepada U Mobile berikutan tidak patuh kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna.

Selain itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pula masing-masing dikenakan satu kompaun yang berjumlah RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

Sumber: MCMC

Sumber gambar: BERNAMA