Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menjalankan rundingan awam mengenai kajian pelaksanaan FNP (Fixed Number Portability).

Menurut MCMC, pelaksanaan FNP ini membolehkan pengguna mengekalkan nombor talian tetap sekiranya hendak berpindah rumah, bertukar kepada pembekal atau jenis perkhidmatan baharu.

Menerusi FNP, ia dijangka memberi lebih banyak manfaat dan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik. MCMC menyatakan ia juga dapat memberikan ruang kepada persaingan yang lebih sihat berdasarkan kualiti perkhidmatan, pakej perkhidmatan dan harga yang berpatutan dalam kalangan pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

Berikutan itu, MCMC mula mendapatkan maklum balas awam bagi membantu pihaknya merangka pelan tindakan yang bersesuaian untuk pelaksanaan FNP di Malaysia. Maklum balas boleh dilakukan menerusi e-mel [email protected] yang akan berakhir pada 1 Mac 2021.

Untuk maklumat lanjut, layari pautan ini.