Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, pelbagai langkah kini giat diambil bagi menangani masalah capaian internet yang dihadapi penduduk di Pekan Tenom, Sabah.

SKMM mengeluarkan kenyataan media mereka sebagai respon terhadap laporan oleh pihak BERNAMA sebelum ini yang melaporkan mengenai beberapa orang guru dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah yang memandu sejauh 40 kilometer ke kawasan kampung anak muridnya di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14 semata-mata untuk menghantar bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) gara-gara kerana capaian Internet lemah.

Sehubungan itu, SKMM memaklumkan 2 buah menara komunikasi kini dalam proses pembinaan. Sebuah menara komunikasi baru sedang didirikan di Kg. Bamban yang dijangka siap pada bulan April 2022 nanti.

Manakala sebuah lagi akan dibina berdekatan dengan Kg. Batu 14, di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Pembinaan menara itu akan bermula pada awal tahun hadapan.

Pembinaan kedua-dua menara komunikasi itu diharap akan dapat mempertingkatkan liputan capaian Internet di kawasan yang sekitar yang terjejas sekaligus membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar.

Sumber: SKMM

Baca juga: 50 Menara Telekomunikasi Baharu Sedang Didirikan Di Sabah

Sabah Adalah Penerima Terbesar Peruntukan JENDELA