Susulan laporan media berkenaan masalah capaian Internet yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Samak, Bagan Datuk, Perak baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Kampung tersebut, bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah rangkaian yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Kunjungan itu turut dihadiri wakil penyedia perkhidmatan daripada Celcom, Digi dan Maxis.

SKMM memaklumkan bahawa pelbagai usaha sedang giat diambil bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan tersebut ditangani dengan segera.

Sebagai langkah penyelesaian awal, kerja-kerja menaik taraf menara sedia ada akan dijalankan oleh pihak Celcom di lokasi menara terdekat dengan kampung itu dan dijangka siap pada bulan September 2021 nanti.
Untuk penyelesaian jangka masa panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina oleh pihak Maxis di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka siap pembinaannya pada bulan April 2022.
Pembinaan menara baharu itu dijangka mampu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh para penduduk di sekitar Kampung Sungai Samak.
Sumber: SKMM