Kumpulan muzik popular dari Britain, Coldplay baru-baru ini mengumumkan kolaborasi mereka dengan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup, dalam usaha membendung pencemaran di 1,000 sungai paling tercemar di dunia.

Terkenal dengan lagu “Paradise”, Coldplay menaja mesin perangkap sampah sungai “Interceptor 005” yang bakal digunakan di Malaysia. Juga dikenali sebagai Neon Moon 1, ia merupakan mesin perangkap sampah kedua yang beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 yang beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.

Coldplay Interceptor 005 Malaysia

Untuk makluman, Interceptor adalah sebuah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari bagi sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, Malaysia merupakan negara pertama yang akan menerima Interceptor 005. Pada masa ini, ia sedang dibina di kemudahan MHE-Demag di Klang dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.

Interceptor 005 dijangka akan terus beroperasi sejurus selepas ia siap dibina menjelang pertengahan tahun ini.

Sumber: The Ocean Cleanup