Selepas kejayaan mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan APEC secara maya (VESOM) pada bulan Mei lalu, Malaysia sekali lagi bakal menempa sejarah apabila akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (1st ASEAN Digital Ministers’ Meeting – ADGMIN1) secara tele-sidang.

Mesyuarat itu bertujuan untuk memantapkan jalinan kerjasama negara-negara ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19.

Penekanan diberikan terhadap memperkukuhkan kepentingan pemusatan dan kesatuan dalam usaha membangunkan komuniti ASEAN dalam bidang keselamatan siber, perlindungan data peribadi, mempromosi inovasi dan e-dagang.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan terhadap pembangunan rangkaian 5G di negara-negara ASEAN.

Mesyuarat yang bertemakan ‘ASEAN: A Digitally Connected Community’ itu dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 22 Januari 2021 nanti yang akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah.

Sumber: KKMM