Apple Malaysia kini secara rasmi mula menawarkan MacBook Pro, MacBook Air dan Mac mini dengan janaan cip Apple M1 untuk pasaran tempatan.

Diumumkan pada November lalu, cip M1 merupakan cip pertama untuk Apple Silicon, yang memfokuskan kepada prestasi tinggi dan juga kecekapan tenaga melalui binaan 5nm. Cip ini mempunyai senibina ARM dan unified memory architecture (UMA) dengan 8 teras CPU, sehingga 8 teras GPU serta 16 teras Neural Engine.

Untuk pasaran Malaysia, MacBook Pro ditawarkan pada harga bermula RM5,599. Sementara itu, MacBook Air dan Mac mini masing-masing dijual pada harga bermula RM4,399 dan RM2,999.

Pembelian sudah boleh dilakukan melalui Apple Store Malaysia, manakala penghantaran dijangka akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu. Bagi MacBook Air, penghantaran dijangka akan dilakukan sekitar akhir bulan ini.