Pendedahan mengenai mata wang kripto di Malaysia semakin hari semakin meluas dan dengan adanya platform seperti Luno, pelabur lebih mudah untuk melakukan pelaburan.

Sejak dilancarkan pada 2019 yang lepas, Luno Malaysia sudah menguruskan lebih dari RM1 bilion pelaburan dalam mata wang kripto.

Namun begitu, dalam kalangan kita masih lagi terdapat salah faham berkaitan mata wang kripto. Lanjutan daripada itu, Luno Malaysia melalui sidang maya bersama media hari ini berkongsikan 5 mitos berkaitan Bitcoin, salah satu mata wang digital yang didagangkan pada platform tersebut.

Mitos 1: Sudah terlambat untuk beli Bitcoin

Siapa sangka Bitcoin yang mula-mula diperkenalkan pada 12 tahun lepas mampu melonjak ke nilai RM164,749 pada hari ini. Melihat kepada nilai sebegitu, segelintir daripada kita beranggapan sudah terlambat untuk membeli mata wang kripto tersebut.

Luno menyatakan teknologi Bitcoin adalah terbuka, telus, dan mempunyai potensi untuk memperbaiki sistem kewangan global. Nilai sebenar Bitcoin dapat dilihat dalam penggunaan global dari masa ke masa. Sama ada dalam kaedah pembayaran, simpanan nilai, atau sebagai sebuah aset lindung nilai terhadap inflasi.

Ia mempunyai potensi untuk masa depan kerana teknologinya masih muda dan boleh diperhalusi seiring dengan masa.

Mitos 2: Turun naik nilai yang tinggi dan tidak menentu, anda tidak boleh pandang serius Bitcoin.

Harga Bitcoin didorong oleh permintaan terutamanya dalam jangka pendek. Permintaan ini didorong oleh orang yang memahami bagaimana bitcoin memberi manfaat kepada dunia dan percaya ia akan diterima pakai secara meluas pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, kepercayaan ini boleh berubah dalam jangka masa pendek kerana peristiwa tertentu yang mempunyai kesan sementara terhadap harga Bitcoin. Sebagai contoh, berita negatif mempunyai potensi untuk mengakibatkan harga Bitcoin turun.

Sebaliknya, berita mengenai syarikat besar yang melabur dalam Bitcoin atau menggunakannya sebagai bentuk pembayaran dapat meningkatkan harga Bitcoin.

Dalam jangka masa panjang, harga Bitcoin mengikut sejarah telah meningkat kerana kenaikan penggunaannya dalam kalangan pengguna dan kepercayaan berterusan oleh pengguna terhadap nilai-nilainya.

Mitos 3: Tiada nilai intrinsik

Wang sebagai satu konsep boleh dirumuskan kepada kepercayaan orang ramai terhadap nilainya. Tidak seperti mata wang fiat, di mana nilai dan status undang-undang diuruskan oleh kerajaan sesebuah negara.

Nilai Bitcoin berasaskan kodnya, infrastrukturnya, penggunaannya, dan bekalannya yang terhad. Oleh kerana kesan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19, individu, institusi bahkan beberapa kerajaan memandang Bitcoin sebagai aset lindung nilai terhadap penurunan nilai mata wang fiat.

Bekalan tetap Bitcoin sebanyak 21 juta juga memberikannya kelebihan di mana harganya akan meningkat apabila permintaan naik dari semasa ke semasa setelah bekalannya menjadi terhad.

Dalam masa satu tahun, Luno telah melihat kenaikan harga dan capaian pasarannya telah melonjak melepasi USD1 trilion (RM4 trilion) pada Februari 2021. Dengan lebih daripada 100 juta dompet mata wang kripto dengan baki aktif di seluruh dunia, jelas bahawa ramai individu dan syarikat melihat Bitcoin sebagai inovasi yang boleh dipercayai.

Mitos 4: Bitcoin hanya digunakan oleh penjenayah

Terdahulu, kita kerap mendengar laporan-laporan sistem syarikat digodam dan penggodam meminta wang tebusan dalam bentuk Bitcoin.

Ia sedikit sebanyak memberikan salah faham masyarakat terhadap Bitcoin. Stigma ini terjadi kerana orang ramai menganggap Bitcoin bersifat “tidak dapat dikesan”.

Namun begitu, perkara ini dapat disangkal dimana semua transaksi Bitcoin adalah telus dan dapat dilihat sesiapa sahaja. Menurut Luno, setiap urus niaga yang dicatatkan pada blok rantai (blockchain) tidak berubah dan sejarah transaksi setiap pengguna tersedia untuk dipantau sesiapa sahaja.

Mitos 5: Ada kesan buruk terhadap alam sekitar

Anda mungkin mendengar tentang aktiviti perlombongan Bitcoin memberi kesan buruk terhadap alam sekitar. Namun begitu, ia sebenarnya hanya menggunakan sebahagian kecil daripada tenaga yang digunakan oleh sektor kewangan semasa.

Difahamkan bahawa, 39% perlombongan Bitcoin pada masa ini dilakukan dengan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan 76% pelombong Bitcoin menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada gabungan sumber tenaga mereka. Ia jauh lebih banyak berbanding industri-industri lain.

Pelombong lebih terarah kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui kerana ia lebih murah dan berpatutan.

Bitcoin berpotensi untuk menggantikan dan menggabungkan sistem-sistem kewangan sedia ada dengan cara yang dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon. Oleh kerana ia semakin menjimatkan tenaga dari semasa ke semasa, Bitcoin mempunyai peranan penting dalam masa depan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

Sumber foto utama: Good Returns