Berita baik kepada para penduduk di Negeri Melaka. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memaklumkan bahawa sebanyak 29 menara baharu bakal dibina dan 502 kerja naik taraf bakal dilaksanakan di kawasan bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan komunikasi 4G di negeri itu.

Di samping itu, sebanyak 103,088 premis pula bakal mendapat akses kepada gentian optik di bawah rancangan pelaksanaan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) dengan melibatkan jumlah pelaburan daripada pihak industri dan Kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM637 juta.

Ia dimaklumkan dalam mesyuarat pertama Majlis Digital Negeri Melaka bersama SKMM bagi membentangkan rancangan pelaksanaan pelan JENDELA di Negeri Melaka.

Mesyuarat yang diadakan itu adalah sebahagian daripada proses pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memerlukan kerjasama daripada banyak pihak terutamanya Kerajaan Negeri.

SKMM turut menyatakan bahawa mereka akan meneruskan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Negeri dengan menawarkan kepimpinan dan berkongsi buah fikiran terutamanya dalam aspek penambahbaikan dasar dan proses bagi industri komunikasi dan multimedia.

Sumber: SKMM