Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa mereka akan menangani isu capaian internet mudah alih di Pendang Kedah.

Secara khususnya di Kampung Watt Paya Mat Inson, Pendang, Kedah.

Ia berikutan aduan oleh penduduknya sebelum ini mengadu proses pembelajaran anak-anak menggunakan saluran dalam talian tidak dapat dilakukan kerana faktor kelajuan jalur lebar yang tidak memuaskan.

Penduduk di kampung tersebut terdiri daripada masyarakat Siam.

Bertindak ke atas aduan itu, satu sesi dialog antara penduduk bersama Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Kedah, YB Wan Romani Wan Salim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah diadakan pada 9 Disember 2020.

Menerusi pertemuan itu, pihak Suruhanjaya memaklumkan mereka akan berusaha mempercepatkan pelaksanaan naik taraf liputan 3G sedia ada di kampung tersebut kepada 4G, termasuk di kampung sekitar seperti Kampung Baloh dan Kampung Huma.

SKMM memaklumkan, kerja naik taraf peralatan di menara sedia ada di kampung itu akan cuba diselesaikan pada bulan Februari 2021 nanti.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan oleh SKMM bersama syarikat-syarikat telekomunikasi dalam usaha menetapkan sasaran meluaskan liputan 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022 dengan kadar purata kelajuan Internet mudah alih ditingkatkan kepada 35Mbps.

Sumber: SKMM