Sebelum wujudnya Spotify dan Joox, LimeWire yang menjadi lubuk muat turun dan perkongsian lagu berformat MP3. Setelah lama menyepi, LimeWire kini kembali sebagai satu pusat pasaran NFT.
Menurut Bloomberg, dua usahawan Austria telah menghabiskan beberapa tahun kebelakangan ini untuk memperoleh jenama LimeWire dan akan melancarkannya semula sebagai platform baharu pada bulan Mei.
Untuk pengetahuan semua, LimeWire telah ditutup pada penghujung tahun 2010 selepas syarikat itu didapati bertanggungjawab atas pelanggaran hak cipta dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh gabungan syarikat rekod.
Walaupun tiada kaitan dengan pasukan lama yang mengendalikan LimeWire, Ketua Pegawai Eksekutif LimeWire baharu, yang merupakan adik beradik, berharap bahawa memori nostalgia terhadap rangkaian P2P yang pernah popular dulu akan memberi mereka peluang dalam pasaran NFT.
Salah seorang, Julian Zehetmayr, berkata, masih terdapat ratusan orang di Twitter yang masih memperingati LimeWire. Bahkan, disebabkan identiti LimeWire yang sangat rapat dengan muzik, mereka akan melancarkan pasaran yang tertumpu kepada muzik, kerana yakin ia benar-benar sesuai dengan peninggalan identiti LimeWire.
LimeWire baharu ini nanti akan menjadi hab untuk membeli dan menjual token NFT berkaitan dengan muzik. Pengguna diberi pilihan untuk membeli NFT dengan menggunakan mata wang USD atau kripto.
Setakat ini, ada 10 artis sudah bersetuju untuk menawarkan NFT eksklusif di pasaran LimeWire, dipercayai antaranya adalah Wu-Tang Clan dan H.E.R..
LimeWire dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan Mei nanti.
Sumber: CNBC
Baca juga: