Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah berkongsikan satu hantaran yang cukup menarik dari laman Facebook France in Malaysia.

Hantaran itu memaparkan 4 foto eksklusif Bandaraya Kuala Lumpur yang dirakam dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Foto-foto itu dirakam oleh seorang angkasawan Perancis bernama Thomas Pesquet.

Kredit: Thomas Pesquet

Dalam hantarannya itu, beliau menyatakan foto malam Bandaraya Kuala Lumpur yang diambil itu merupakan kolaj bandar pertamanya pada waktu malam.

Beliau menjelaskan, foto yang dirakamnya itu lebih jelas berbanding foto-foto malam yang pernah dirakam sebelum ini.

Kredit: Thomas Pesquet

Ini kerana tetapan kelajuan ‘shutter’ kamera perlu lebih perlahan kerana pencahayaan yang rendah.

Tetapi pada masa yang sama, gambar yang hendak dirakam itu juga perlu diambil dalam urutan yang sangat pantas semasa menggerakkan kamera.

Menjadikannya lebih sukar adalah untuk menstabilkan pegangan kamera tanpa berat badan kerana ketiadaan graviti dan sejauh 400km dari angkasa lepas.

Kredit: Thomas Pesquet

Thomas Pesquet merupakan seorang angkasawan dari Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA). Beliau sedang dalam misi berada di ISS untuk tempoh 6 bulan sebagai sebahagian misi Apha keduanya.

Gambar Bandaraya Kuala Lumpur yang diambilnya pada 5 Ogos 2021 itu kemudian dijadikannya dalam bentuk kolaj.

Kolaj dalam resolusi tinggi itu boleh dimuat turun dari laman ESA

Sumber: MYSA, ESA, FB Thomas Pesquet