Sebelum ini LG telah menafikan laporan bahawa mereka mungkin menarik diri daripada perniagaan telefon pintar.

Namun, hari ini, LG mula mempertimbangkan pilihan tersebut setelah bertahun-tahun bergelut untuk menghasilkan keuntungan dalam arena telefon pintar.

CEO LG kini telah menghantar notis kepada pekerja mereka bahawa LG akan mengecilkan divisyen telefon pintar, atau menjual divisyen tersebut, ataupun keluar terus daripada perniagaan telefon pintar.

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar perbualan bahawa LG mungkin menarik diri disebabkan syarikat tersebut tidak berjaya mengembalikan keuntungan yang setimpal dengan apa yang dilaburkan untuk divisyen telefon pintar.

Baik kategori premium mahupun kelas bajet, kesemua bahagian mempunyai persaingan hebat oleh syarikat besar seperti Apple, Samsung, Xiaomi, OPPO, realme dan lain-lain.

Memandangkan LG pun hanya memiliki sekitar 1.7% perkongsian dalam pasaran telefon pintar secara global, langkah penarikan diri ini dilihat satu kemungkinan besar yang bakal dilakukan.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, LG masih belum membuat apa-apa tindakan rasmi untuk keluar daripada perniagaan namun hanya sekadar menyatakan pertimbangan pilihan itu sahaja.

Sumber: Korea Herald