Pengeluar telefon pintar dari China, Gionee telah didapati bersalah oleh mahkamah China selepas mereka didapati telah memasang perisian hasad ke dalam lebih daripada 20 juta unit telefon pintar keluaran mereka.

Menurut laporan, pihak mahkamah negara itu mendedahkan Gionee secara sengaja memasang perisian hasad Trojan Horse ke dalam telefon pintar keluaran meraka dari Disember 2018 hingga Oktober 2019.

Perisian hasad itu didapati dipasang sebagai alat bagi mengaut keuntungan mudah menerusi paparan iklan-iklan yang tidak sepatutnya ada dalam peranti tersebut.

Hasil penjejakan yang dibuat, dipercayai antara April 2019 hingga Oktober 2019, lebih daripada 26,519,921 unit telefon pintar Gionee terjejas dengan pemasangan perisian hasad oleh syarikat tersebut.

Hasil keuntungan yang dicapai Gionee hanya menerusi perisian hasad bagi sepanjang tempoh itu pula dianggarkan sebanyak RMB27.85 juta.

Atas kesalahan itu, pihak tertuduh iaitu Shenzhen Zhipu Technology dan juga beberapa pihak lain yang terlibat termasuklah Xu Li, Zhu Ying, Jia Zhengqiang dan Pan Qi didapati bersalah kerana secara tidak sah mengawal sistem maklumat komputer yang menyebabkan mereka dikenakan 3 tahun dan 6 bulan penjara serta denda sebanyak 200,000 yuan.

Sumber: GIZMOCHINA