Seperti diketahui, pendaftaran vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera telah pun boleh dilakukan bermula 23 Februari 2021.

Terbaru, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAVMY) telah mengeluarkan jumlah terkini bagi pendaftaran vaksin melalui MySejahtera. Menurut JKJAVMY, sebanyak 5,633,903 pendaftaran telah direkodkan sehingga 16 Mac 2021, jam 12.00 tengah malam.

Berdasarkan pendaftaran mengikut negeri, Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 1,642,287.

 

Terdahulu, 1.4 juta yang mendaftar dilaporkan hanya mengesahkan identiti seperti nama dan nombor kad pengenalan tetapi tidak menjawab soalan berkaitan dengan penilaian kesihatan serta tidak memasukkan alamat. Proses pendaftaran yang lengkap diperlukan bagi membolehkan temujanji suntikan vaksinasi diberikan.

Sementara itu, bagi anda yang masih belum membuat pendaftaran vaksinasi COVID-19, anda boleh berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera. Selain MySejahtera, pendaftaran vaksinasi COVID-19 juga boleh dibuat menerusi laman web vaksincovid.gov.my dan talian hotline melalui 1800-888-828.

Sumber: JKJAVMY