Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan sehingga bulan Mac 2021 yang lalu, sebanyak 2,195 laman-laman sesawang yang didapati mempromosikan judi dalam talian telah berjaya disekat.

Ia berdasarkan kepada permohonan rasmi yang dikemukakan oleh PDRM atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain maklumat yang diterima daripada orang awam.

Selain itu, SKMM turut memaklumkan bahawa ejumlah 19,765 talian telefon telah ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

Kejayaan penguatkuasaan ini dicapai hasil daripada kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PDRM telah sedia terjalin dalam usaha untuk membendung perjudian secara dalam talian.

Malah SKMM juga turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.

SKMM juga memohon kepada pengguna supaya melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa sekiranya ada terjumpa sebarang kandungan yang mempromosikan perjudian dalam talian, untuk tindakan selanjutnya.

 

Sumber: SKMM