Jika laporan sebelum ini menyatakan siri Galaxy Note akan dihentikan pada tahun hadapan, namun kini lain pula yang dikhabarkan.

Memetik laporan Yonhap News, Samsung menafikan laporan sebelum ini dan menyatakan pengeluaran siri Galaxy Note masih akan diteruskan pada 2021. Menurut Samsung,

“We are preparing to release the Galaxy Note series next year,”

Dalam erti kata lain, kita boleh menjangkakan barisan Galaxy Note 21 bersama dengan siri Galaxy S21. Bagi anda yang belum tahu, khabar angin di sebalik penamatan pengeluaran siri Galaxy Note turut diperkuat apabila TM Roh, Pegawai Perniagaan Mudah Alih Samsung, memberikan gambaran bahawa Galaxy S21 akan tiba dengan sokongan S Pen.

Akan tetapi, sumber dari syarikat itu turut menyatakan mesej yang disampaikan oleh Roh tidak bermaksud siri Galaxy Note akan dihentikan.

Walau bagaimanapun, sama ada pelancaran model baharu pada tahun hadapan akan menjadi yang terakhir dalam siri Galaxy Note, dihentikan atau diteruskan seperti biasa untuk tahun-tahun berikutnya, kita mungkin perlu menunggu pengumuman rasmi dari syarikat itu untuk kepastian mengenainya.

Terdahulu, Samsung pertama kali memperkenalkan siri Galaxy Note adalah pada tahun 2011.

Sumber: Yonhap News via GizmoChina