Beberapa negeri dan kawasan di Malaysia kini sedang mengalami hujan lebat dan ribut petir sehingga ada yang mengakibatkan insiden banjir kilat sepertimana yang dilaporkan media massa berlaku di beberapa kawasan di negeri Kedah sehingga merosakkan harta dan kehilangan nyawa.

Ekoran itu, pihak Tenaga nasional Berhad (TNB) telah berkongsikan tip-tip kepada pengguna bagi mengelakkan daripada berlakunya insiden renjatan elektrik jika kawasan rumah mereka mengalami banjir.

TNB menyatakan, pengguna jangan menyentuh alat elektrik sekiranya tangan mereka masih basah dan lembap.

Pengguna juga dinasihatkan supaya jangan cuba menghidupkan peralatan elektrik yang telah terendam di dalam air semasa banjir berlaku.

Sebaiknya pengguna disyorkan supaya membawa peralatan elektrik yang terjejas itu untuk dibersihkan, diperiksa dan dibaiki.

Pengguna juga disyorkan menghubungi kontraktor yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa tahap keselamatan pendawaian elektrik di rumah selepas habisnya banjir.

Berhubung dengan insiden banjir yang berlaku di Daerah Kuala Muda, Kedah,  pihak TNB memaklumkan bahawa pasukan teknikal mereka telah menjalankan kerja-kerja baik pulih talian elektrik yang telah jatuh ditimpa pokok besar dan kayu balak yang dibawa arus deras Sg. Tupah, Merbok ekoran hujan lebat semalam.

Pihak TNB juga telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik (PE) bagi memastikan keselamatan para pengguna.

Kerja baik pulih dijalankan bagi keselamatan orang awam dengan kerjasama pihak bomba, JKR dan polis.

Sumber: TNB Careline