Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit di sekolah bagi tujuan pembelajaran.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penggunaan alat tersebut bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan kementerian.
Katanya, cadangan itu bagaimanapun belum dimuktamadkan kerana kementerian perlu mengkaji semula prosedur secara terperinci sebelum melaksanakannya.
“Saya masih belum memikirkan jenis alat peranti yang boleh dibawa pelajar ke sekolah, mungkin selepas perbincangan lanjut, kementerian akan umumkan keputusannya dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya pada satu sidang media, semalam.