Sejak penularan wabak COVID-19 melanda, pelbagai inisiatif yang dilakukan banyak pihak dalam memastikan persekitaran bersih.

Malah, jenama seperti LG dan Samsung turut menggunakan pembasmian kuman ultaviolet (UV) pada produk mereka.

Ini yang dilakukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu memperkenalkan tandas baharunya yang dilengkapi teknologi pembasmian kuman UV dalam mengekang penyebaran wabak COVID-19 serta melindungi penumpang dan komuniti KLIA.

Tandas tersebut dilengkapi peranti automatik yang dikenali sebagai Ultraviolet Chamber (UVC). Ia akan menghasilkan cahaya UV untuk membunuh bakteria atau patogen berjangkit di udara.

Setakat ini, sebanyak 24 tandas telah dilengkapi teknologi ini dan pemasangan seterusnya akan dilakukan secara berperingkat dalam beberapa bulan lagi.

Sumber: The Star

Disebabkan pengurangan jumlah penerbangan pada waktu ini, ia memberikan proses pemasangan lebih cepat dengan gangguan minimum terhadap operasi KLIA.

Sebenarnya, penambahbaikan ini adalah salah satu projek Malaysia Airport sejak Jun 2017 yang membabitkan keseluruhan 225 tandas.

Projek tersebut kini berada pada fasa terakhir yang membabitkan 94 tandas dan dijangka akan selesai kesemuanya menjelang Jun 2021.

Melalui kemudahan dan teknologi ini, Malaysia Airport berharap dapat terus meningkatkan kualiti serta menjaga standard kebersihan tandas yang tinggi.

Sumber: Bernama