Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata tugas kementeriannya adalah untuk menjelaskan mekanisme pelaksanaan cukai terbabit, namun perkara itu akan dibincangkan secara terperinci terlebih dahulu.
Beliau berkata perniagan yang dijalankan secara dalam talian sudah menunjukkan prestasi atau peningkatan yang baik dan ramai yang berjaya dalam perniagaan menggunakan kaedah ini.
“Saranan berkenaan cukai kepada peniaga atas talian itu satu perkara yang baik…sebagai pembayar cukai ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan sumbangan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Dalam Dewan Negara semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu kerajaan sedang meneroka sumber hasil pendapatan baharu termasuk mempertimbang mengenakan cukai terhadap aktiviti peniagaan yang dijalankan secara dalam talian.
Ditanya mengenai kadar tertentu pendapatan perniagan atas talian yang dikenakan cukai, Eddin berkata seperti cukai-cukai pendapatan yang dikenakan kepada individu pasti akan ditetapkan berapa jumlah minimum dengan mengikut formula yang bersesuaian.
Dalam pada itu, bercakap mengenai lawatannya hari ini, Eddin yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan mesej yang disampaikan kepada rakyat tepat dan difahami.
“RTM menjalankan peranan sebagai mata, lidah dan telinga kerajaan bagi perjelaskan isu-isu yang sekarang ini menjadi isu-isu penting.
Sudah tentu saya sangat berpuas hati dengan peranan dan tanggungjawab yang diambil oleh pihak RTM khususnya RTM Perak. Saya percaya kesinambungan ini perlu diteruskan,”katanya.
— BERNAMA