Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) baru-baru ini menyatakan mereka akan terus komited untuk memastikan penduduk di kawasan luar bandar menerima capaian internet yang setanding dengan di kawasan bandar.

Mereka kini sedang berbincang dengan syarikat telekomunikasi (telco) dalam menyelesaikan masalah berkaitan. Ini kerana, aduan terhadap ketiadaan rangkaian di luar bandar sangat tinggi.

Tambahnya lagi, kesemua rakyat di Malaysia tidak kira di bandar mahupun luar bandar membayar bil yang sama tetapi perkhidmatan rangkaian bagi kawasan tersebut tidak sama.

Setakat ini, lebih 95% di seluruh Malaysia mempunyai sambungan rangkaian tetapi terdapat beberapa kawasan yang liputannya sangat teruk dan sering terputus terutama kawasan berbukit.

Selain itu, gangguan bekalan elektrik menjadi salah satu faktor pemancar telekomunikasi tidak dapat berfungsi dengan baik dan generator set (genset) akan digunakan bagi kawasan yang tiada bekalan elektrik.

Sumber: Bernama