Penularan wabak COVID-19 memberikan impak sangat besar dalam kehidupan kita hari ini kerana terpaksa menjalankan kehidupan dengan norma baharu.

Tidak kira pelajar mahupun individu bekerja terpaksa melakukan kerja seharian secara dalam talian. Secara tidak langsung, semakin hari kita menjadi semakin malas dan sentiasa ingin duduk tanpa bergerak. Namun, tahukah anda bahawa perkara ini akan menjejaskan kesihatan kita dalam jangka masa panjang?

Menerusi media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perkara ini merupakan satu penyakit yang dipanggil “sitting disease”. Istilah ini merujuk kepada duduk atau baring terlalu lama dan memberikan kesan buruk akibat gaya hidup sedentari.

Individu yang tidak aktif dan duduk lebih daripada 6 jam sehari adalah golongan yang paling berisiko untuk menghidapi penyakit kronik seperti diabetes dan kematian pramatang.

Oleh itu, KKM menyarankan individu yang mempunyai gaya hidup sebegini untuk kurangkan duduk. Selain itu, amalkan gaya hidup sihat seperti bergerak aktif atau melakukan senaman bagi mengekalkan kesihatan yang lebih baik.

Sumber: KKM