Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (A.S) kini dilaporkan telah menerima serangan penggodam yang mengakibatkan kebocoran data. Kebocoran data itu didakwa melibatkan kedua-dua Jabatan Perbendaharaan A.S serta Pentadbiran Telekomunikasi dan Maklumat Negara (NTIA).

Walaupun perincian mengenai serangan itu tidak didedahkan, namun ia dikatakan serius sehingga memaksa mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional diadakan.

Memetik laporan Reuters, penggodaman di NTIA telah dilakukan melalui Microsoft Office 365, dengan e-mel kakitangan di agensi itu telah dipantau oleh kumpulan penggodam selama berbulan-bulan. Serangan itu termasuk menggunakan penipuan protokol pengesahan di platform Microsoft, yang menunjukkan bahawa ia dilakukan oleh kumpulan yang sangat mahir.

Berikutan itu, siasatan di peringkat awal yang melibatkan pelbagai agensi persekutuan termasuk FBI telah mula dijalankan. Bagi pihak Microsoft, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan buat masa ini.

Sumber: Reuters via Apple Insider